Perjanjian yang dicapai anggota Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sebahagian negara bukan OPEC bagi mengurangkan pengeluaran minyak mentah bermula 1 Januari tahun depan, akan menjadi usaha terpenting untuk memulakan kitaran pemulihan harga bahan api itu.
Penganalisis Maybank Investment Bank Bhd, Liaw Thong Jung, berkata perjanjian yang akan membolehkan anggota OPEC mengurangkan sehingga 1.2 juta tong minyak sehari (bpd) dan negara bukan OPEC sebanyak 600,000 bpd, dijangka mampu menstabilkan buat tempoh masa sementara pasaran minyak dunia.
Katanya, pemotongan pengeluaran selama enam bulan itu yang bersamaan dengan satu setengah tahun pertambahan penggunaan minyak mentah global jika dilaksanakan dengan betul akan dapat memacu keseimbangan semula dinamik permintaan-bekalan di dalam pasaran minyak mentah.
Pada masa sama, beliau berkata, usaha berkenaan juga akan menyuntik semula pertumbuhan perbelanjaan modal dalam kalangan syarikat minyak dan gas, di samping menyokong harga minyak yang lebih kukuh pada tahun depan.
"Justeru, kami tidak menolak kemungkinan pasaran minyak mentah global akan mencapai keseimbangan (permintaan-bekalan) menjelang separuh kedua tahun depan, lebih cepat berbanding 2018 yang diunjurkan sebelum ini dan sekali gus menyokong tinjauan harga minyak lebih kukuh.
"Kami berpandangan harga minyak mentah secara puratanya akan mencecah AS$55 satu tong pada 2017," katanya menerusi satu nota.
Dari perspektif asas, Thong Jung berpandangan bahawa pemotongan pengeluaran adalah pilihan terbaik berbanding dasar mengehadkan pengeluaran yang dilaksanakan di bawah kitaran pasaran minyak semasa.
Katanya, sejarah adalah kayu ukur yang baik memandangkan kitaran pemulihan yang berlaku pada tahun 2001 juga diterajui oleh usaha pemotongan pengeluaran.
"Walaupun kekuatan perjanjian terbaharu ini akan bergantung sama ada semua pihak akan melaksanakan komitmen masing-masing memandangkan ada sedikit kesilapan yang berlaku sebelum ini, ia menegaskan lagi peranan OPEC sebagai sebuah kumpulan pengeluar yang relevan.
"Ia juga mencerminkan komitmen negara bukan OPEC untuk berhadapan kitaran penurunan harga semasa," katanya sambil menambah sektor minyak dan gas akan melalui tempoh positif enam bulan akan datang berikutan sentimen dan tinjauan operasi yang lebih baik.
Ketua Ahli Strategi Pasaran FXTM, Hussein Sayed berkata, harga minyak dijangka kekal dalam lingkungan AS$50-AS$60 setong dalam tempoh jangka pendek.
Katanya, harga itu kekal hingga lebih banyak perkembangan diperoleh daripada pengeluaran minyak syal Amerika Syarikat (AS), permintaan global dan komitmen pengeluar terhadap perjanjian berkenaan.
Beliau berkata, harga minyak semasa turut dipengaruhi oleh laporan kenaikan mengejutkan inventori minyak mentah AS daripada Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) yang mengimbangi laporan sebelumnya oleh Institut Petroleum Amerika (API) yang menunjukkan berlaku pengurangan 4.15 juta tong.
"Walaupun laporan berkenaan memainkan peranan penting dalam penetapan harga, tumpuan pada enam bulan akan datang akan terarah kepada angka pengeluaran daripada anggota OPEC dan bukan OPEC, sama ada mereka menunaikan janji untuk mengurangkan output masing-masing," katanya.
0 comments :
Post a Comment