Presiden Syria, Bashar al-Assad berkata bakal Presiden AS, Donald Trump akan menjadi sekutu semula jadi jika beliau menunaikan ikrarnya untuk menentang pengganas.
"Kita tidak dapat menjangka apa yang akan beliau lakukan, tetapi jika beliau menentang pengganas, sudah tentu kita akan menjadi sekutu semula jadi, dalam hal ini dengan Russia, dengan Iran dan dengan banyak negara lain," kata Assad dalam satu temu bual dengan rangkaian televisyen RTP, Portugal semalam.
Katanya, beliau turut mengalu-alukan tanggapan yang dibuat Trump ketika berkempen bahawa Amerika Syarikat harus lebih fokus kepada memerangi kumpulan pengganas Daesh. "Saya boleh katakan ia menjanjikan sesuatu yang positif, tetapi dapatkah beliau melakukannya? Dapatkah beliau menangani hal itu? Bagaimana pula dengan kuasa-kuasa timbal balas dalam pentadbiran, media arus perdana yang menentang beliau? Dapatkah beliau mengendalikannya?" tambahnya.
Beliau berkata, kuasa-kuasa itu adalah antara alasan mengapa Syria masih meragui sama ada Trump akan dapat hidup memenuhi ikrar beliau. "Sebab itu kami amat berhati-hati dalam menilai beliau, terutama kerana beliau tidak pernah memegang sebarang jawatan politik sebelum ini," katanya.
Dalam satu temu bual Mac lalu, Trump berkata, pendekatan AS dalam memerangi Assad dan Daesh secara serentak adalah satu kegilaan, dan kebodohan. "Anda tidak boleh menentang dua pihak yang sedang saling berperang, dan memerangi mereka secara serentak. Anda perlu memilih salah satu," kata Trump.

0 comments :
Post a Comment