Seorang senator Demokrat Amerika Syarikat membawa usul untuk memansuhkan Undi Elektoral berikutan kemenangan mengejut calon Republikan Donald Trump dalam pilihan raya presiden pada minggu lalu.
Senator Barbara Boxer memperkenalkan rang undang-undang itu semalam di tengah-tengah peralihan ke arah pembaharuan selepas Trump meranapkan harapan calon Demokratik Hillary Clinton pada pilihan raya 8 November lalu.
"Ini satu-satunya pilihan raya di dunia ini di mana anda boleh mendapat lebih banyak undi dan masih kehilangan jawatan presiden," kata Boxer.
Undi Elektoral adalah sistem yang diperkenalkan oleh Perkara Dua Perlembagaan yang memutuskan secara muktamad pemilihan presiden dan bukan menerusi undi popular.
"Undi Elektoral adalah ketinggalan zaman, sistem demokratik yang tidak mencerminkan masyarakat moden kita dan ia perlu diubah serta-merta. Setiap warga Amerika perlukan jaminan bahawa undi mereka dikira," kata Boxer.
Menurut Laporan badan bebas Cook Politik, Clinton setakat ini memenangi 62,318,079 menerusi undi popular berbanding Trump dengan 61,166,063.
Bagaimanapun, Trump memenangi 290 daripada 538 jumlah undi pilihan raya, berbanding Clinton 228.
Trump sebelum ini kurang bersetuju dengan sistem Undi Elektoral, namun menghormatinya dan lebih suka kaedah undi popular.
Tetapi, dalam tweet baru-baru ini, beliau berkata, "Undi Elektoral sebenarnya bijak kerana ia menggabungkan semua negeri, termasuk yang lebih kecil untuk turut serta.
Berkempen adalah jauh berbeza!" Sejak pemilihan Trump, ribuan penunjuk perasaan mengadakan perhimpunan di seluruh Amerika Syarikat, menolak hartawan itu berikutan kempen beliau yang berbau perkauman dan memecah-belahkan.

0 comments :
Post a Comment