Anggota Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan negara bukan anggota OPEC bersetuju mengurangkan pengeluaran minyak pada tahun 2017.
Keputusan itu dipersetujui selepas mengadakan perbincangan selama tujuh jam di Vienna, Austria. Perkara itu dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan, menerusi Twitternya sebentar tadi.
Bagaimanapun, beliau masih menunggu pengumuman rasmi berhubung perkara itu. Sementara itu di VIENNA, negara pengeluar minyak yang bukan daripada ahli OPEC bersetuju mengurangkan bekalan sebanyak 558,000 tong sehari (bpd) mulai 1 Januari depan, hari ini, sebagai sebahagian daripada perjanjian global.
Perkembangan itu diumumkan Menteri Minyak Iran, Bijan Namdar Zangeneh, susulan satu rundingan di ibu pejabat OPEC di Vienna bertujuan membincangkan perincian lanjut mengenai berapa banyak jumlah pengurangan bekalan bakal dilaksanakan selepas persefahaman terbabit dicapai, lewat bulan lalu.
Difahamkan, beberapa wakil OPEC bertemu dengan Russia dan beberapa negara pengeluar minyak bukan ahli OPEC lain bersandarkan satu perjanjian untuk mengekang penurunan harga minyak dunia selain merangsang harga komoditi itu.
Pada 30 November lalu, OPEC bersetuju mengurangkan pengeluaran minyak bulanannya kepada hanya 1.2 juta bpd kepada 32.5 juta bpd, mulai Januari depan.
Di bawah perjanjian itu, OPEC mahu negara pengeluar minyak lain yang bukan ahli pertubuhan itu untuk turut mengurangkan pengeluaran minyak mereka sebanyak 600,000 bpd sehari.

0 comments :
Post a Comment