
Bursa Malaysia dibuka lebih rendah pagi ini dengan nada semalaman yang kurang memberangsangkan di Wall Street dan kejatuhan harga minyak, kata peniaga.
Pada 9.12 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 1.27 mata kepada 1,628.32 mata berbanding penutup Rabu 1,629.59.
Indeks dibuka 0.56 mata lebih rendah pada 1,629.03. Jajaran pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung 102 berbanding 71 manakala 157 kaunter tidak berubah, 1,429 tidak diniagakan dan 26 lagi digantung.
Jumlah dagangan mencecah 69.08 juta saham bernilai RM38.17 juta.
Public Investment Bank berkata FBM KLCI mungkin diniagakan dalam lingkungan sempit hari ini selepas pasaran global bergelut untuk mencatatkan prestasi dengan aktiviti dagangan terus merosot menjelang cuti perayaan.
Dalam satu nota, ia berkata prestasi lebih lemah di Wall Street mengecewakan sesetengah pelabur, yang berharap untuk menyaksikan Purata Perindustrian Dow Jones melepasi paras 20,000 mata buat kali pertama.
Ia ditutup 0.16 peratus lebih rendah pada 19,941.96, manakala S&P 500 susut 0.25 peratus kepada 2,265.18 dan Nasdaq jatuh 0.23 peratus kepada 5,471.43.
0 comments :
Post a Comment